Agak unik bagaimana aku terjun dalam dunia penulisan dan bergelar penulis (penulis kecil yang karyanya tidak seberapa). Kelas bahasa ketika di tingkatan empat, guru memberi tugasan untuk menyiapkan sebuah karangan dengan gaya bebas, boleh tulis apa saja. Entah aku ketandusan idea atau malas untuk mencari bahan, terdetik di hati untuk merapu. Lupa apa topik yang aku tulis, tetapi apa yang ditulis tidak sebagaimana sebuah karangan biasa. Ulasan cikgu amat mengejutkan, mengatakan bahawa apa yang aku tulis itu sebenarnya bukan sebuah karangan, tetapi mendekati bentuk cerpen.
Guru tidak mungkin berbohong, barangkali ada kebenarannya bahawa aku benar-benar ada bakat. Cuba-cuba menulis akhirnya siap sebuah cerpen, terlintas untuk mengirimkan ke Dewan Siswa. Namun aku tidak punya nama pena. Lucu bila difikirkan semula. Kenapa harus menggunakan nama pena. Mungkin terpengaruh dengan nama-nama pena penulis-penulis tersohor. Muncullah nama Ralan Kazan. Entah dari mana datangnya nama itu. Cerpen Jabat adalah karya pertama, menepati kehendak editor dan tersiar di Dewan Siswa. Dalam ulasan yang disisipkan, pengulas turut bertanya kenapa mesti ralan kazan, kenapa tidak ruslan ngah? Sebuah nama yang belum pernah digunakan oleh mana-mana penulis.
Jabat adalah cerpen sulung, nukilan yang membuka tirai dunia penulisan, turut juga menyumbangkan pendapatan sampingan. Alhamdulillah, ada kalanya ia muncul ketika aku sangat memerlukan. Jabat membawa seakan motivasi yang tiada henti, membolehkan aku diundang untuk menyertai Minggu Penullis Remaja (dahulunya dikenali sebagai Minggu Remaja) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Seminggu berkampung bersama rakan-rakan sealiran, membungakan keinginan untuk melangkah lebih jauh. Terhasillah novel sulung, Senandung Anak Laut. Perjalanan yang diawalnya amat memberansangkan, turut ada pasang surutnya.
No comments:
Post a Comment