Walaupun beberapa karya sudah tersiar di beberapa media cetak, tetapi keinginan untuk merapu tidak pernah padam. Bidang penulisan humor mula mencuit hati. Munculnya tabloid humor Warta Jenaka memberi ruang untuk aku mengetengahkan karya yang keluar dari jalur biasa. Aku tertarik untuk mencuba, akhirnya karya humor tersiar di Warta Jenaka dengan menggunakan nama pena LOLO. Pun aku sudah lupa bagaimana nama itu terbentuk. Itam Si Kenit adalah cerita bersiri yang kemudiannya mengubah perjalanan kehidupan aku. Ia menjadi jambatan sehingga suatu hari aku menekuni majalah humor GELAGAT. Aku menjadi salah seorang teraju utama.
Bertahun-tahun membangunkan GELAGAT, bidang penulisan serius aku tinggalkan. Walaupun kedua-duanya menggunakan medium yang sama, tetapi sukar untuk aku menumpukan perhatian dalam kedua-duanya sekali. Apatah lagi penulisan humor menjadi mata pencarian, sudah tentu aku harus mendahulukan bidang itu. Ditambah pula ia lebih mudah. Mencari idea tidaklah sesukar mana, ditambah dengan hobi yang suka merapu. Namun sekali ombak datang, berubahlah pantai. Demikian juga aku, akhirnya GELAGAT tewas melawan kegawatan ekonomi men yaksikan ia berkubur. Namun aku masih bangga, kerana dalam perjalanannya muncul beberapa nama kartunis yang sehingga kini mekar mengharum nama. Semuanya bermula di GELAGAT. Kini mereka tersohor, mungkin sudah lupa, mungkin juga masih ingat di mana mereka mula bertatih dan mengukir nama. Kepada mereka, teruskan berkarya untuk menggembirakan hati penggemar masing-masing.
Buat seketika, pena terhenti. Dunia humor aku tinggalkan buat sementara. Bertatih semula dalam penulisan normal. Agak sukar kerana teknik penulisan humor agak berbeza. Beberapa karya agak lemah gaya bahasanya, namun dapat juga aku menghasilkan beberapa set buku kanak-kanak yang diterbitkan oleh beberapa buah penerbit kecil. Dalam kesukaran itu, berjaya juga aku menghasilkan sebuah novel remaja, Keranamu Hani kemudiannya diterbitkan oleh ALAF21.
Panggilan untuk kembali meneroka penulisan humor muncul setelah mendapat tawaran daripada Majalah APO? Disambut dengan kegembiraan kerana rezeki jangan sekali ditolak. Namun kali ini aku tidak mahu lagi memisahkan antara penulisan humor dan serius. Kedua-duanya aku tekuni sehingga lahirlah MERENANG GELORA yang tidak disangka memenangi hadiah ketiga Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Kemenangan yang tidak pernah aku impikan. Kali pertama menyertainya, terus berjaya. Itu pun pada awalnya manuskrip yang dihantar hanya untuk penilaian biasa.
No comments:
Post a Comment